Hari ini saya nak kongsikan pengalaman saya semasa mengikuti program Generasi Takwa Pelajar Tingkatan 5 yang disertai oleh 40 orang pelajar sekolah saya di Rimba Bay, Mersing. Sedikit maklumat mengenai lokasi program tersebut, Rimba Bay Resort terletak kira 15 minit dari bandar Mersing menuju ke arah Jemaluang, dan berdekatan dengan Kem PLKN Iskandar. Pantai di Rimba Bay ni agak bersih berbanding dengan beberapa pantai yang telah saya kunjungi, dan menurut kem komandan program, kawasan tersebut popular dengan aktiviti mendulang emas! Saya tak pasti sama ada masih terdapat emas di kawasan tersebut ataupun tidak.
Okay, saya teruskan dengan perkongsian program tersebut. Sepanjang program 2 hari 1 malam tersebut, pelajar telah diberikan input mengenai bagaimana meningkatkan potensi otak dan amalan yang boleh dipraktikkan, selari dengan konsep kerohanian dan kepercayaan kepada Allah.
Antara yang diperkatakan ialah fungsi otak dan bagaimana kita bekerja dengan otak kita. Sebelum saya teruskan, jom kita buat satu ujian! Ikut langkah-langkah berikut dengan JUJUR ye! Tapi baca dulu arahan semua sekali sebelum ujian ni dibuat.
1. Tutup mata, tarik dan hembus nafas perlahan-lahan.
Kalau boleh, kawal nafas anda setiap tarikan dan hembusan. Tarik nafas selama empat saat, kemudian hembus selama empat saat juga. Kawal pernafasan sehingga anda berasa tenang.
2. Tutup mata dan bayangkan di depan anda ada sebuah TV
Pastikan skrin TV tersebut berwarna biru, macam bila TV tiada siaran tu.
3. Sekarang, bayangkan apple.
4. Bila selesai, buka mata anda.
Haa, sekarang kita imbas dan buat refleksi apa yang kita dah buat tadi.
Pertama, kita bayangkan APPLE. Soalannya,
Berapa ramai yang bayangkan buah epal?
Berapa ramai yang bayangkan tulisan APPLE?
Berapa ramai yang bayangkan benda lain (iPad, iPhone)
Majoriti kita akan membayangkan sebiji buah epal, betul? Kenapa? Sebab otak kita suka pada gambar! Mereka yang gambarkan sebiji epal ni maksudnya, dia mudah tertarik pada gambar. Kalau baca majalah, dia akan cari artikel yang ada gambar, yang ayat panjang-panjang tu memang langsung tak menarik. Bagi yang nampak perkataan APPLE atau EPAL, tu maksudnya otak anda sukakan perkataan. Maka, senang bagi anda untuk membaca buku novel, artikel atau berita surat khabar yang panjang berjela-jela.
Kedua, kedudukan APPLE tersebut. Soalannya,
Dimana lokasi APPLE yag anda bayangkan? Kiri? Kanan? Sudut atas/bawah? Tengah?
Majoriti akan berkata apple berada di tengah-tengah skrin TV, betul? Apa maksudnya disini? Maksudnya, otak kita suka mula bekerja dari tengah-tengah! Cuba ingat balik, bila sekolah, kita tulis nota mula dari mana? Kiri ke kanan, mula dari atas, betul tak?
Ketiga, warna APPLE tersebut. Soalannya,
Apple anda warna apa? Warna-warni? Satu warna? Warna hitam?
Ramai yang akan berkata, apple dia warna merah dan mungkin ada yang berkata, warna-warna. Saya yakin tak ramai yang apple yang dibayangkan berwarna hitam. Apa simboliknya disini? Otak kita tertarik dan suka pada warna! Cuba ingat balik, bila sekolah, tulisan-tulisan di buku warna apa? Anda tulis nota pakai pen warna apa? Satu warna atau berwarna-warni?
Kesimpulan disini ialah, kita selalu berkerja mengikut kehendak kita, tetapi otak kita tidak suka apa yang kita buat. Contohnya, dalam menghafal fakta Sejarah. Bosan kan? Saya sangat suka sejarah, sebab sejarah bagi peluang saya untuk query atau tanya soalan dengan banyak. Nak hafal tarikh, nama perjanjian dan nama tokoh tu sangatlah payah bukan?
Macam mana kita kerja untuk buat kita hafal fakta tersebut? Baca, salin, ingat? Hafal? Rebus buku lepas tu minum air rebusan tu? Semua tu otak kita tak suka buat! Kita pun, bila kena paksa buat sesuatu yang kita tak suka, berapa efisien hasil kerja kita? Sebab tu, kita rasa kita dah usaha macam-macam, belajar sungguh-sungguh, tapi tak masuk-masuk jugak! Sebab tu the saying goes:
Study smart, not study hard!
Jadi, kita kena kenali bagaimana otak kita berkerja, barulah kita dapat perform atau berkerja dengan efisien, dan produk yang dihasilkan adalah optimum dan bagus! Contohnya, berkaitan dengan otak suka bermula di tengah; bagaimana nak optimumkan potensi otak ni? Kita selalu tulis dari kiri ke kanan buku, tapi otak suka dari tengah. Jadi kita ubah cara kita tulis nota dengan....PETA MINDA! Kan Peta Minda mula dari tengah, kemudian dikembang-kembangkan? Bila otak berkerja dengan cara yang disukai, maka hasilnya, inshaALLAH sangat produktif dan maksima!
Banyak lagi yang saya nak kongsi, tapi cukuplah setakat ini dulu. Nanti saya kongsikan lagi mengenai potensi otak ni okay! Tingkatkan potensi, maksimakan prestasi!
0 comments